Trump Tulis Surat Apa Pula Ni?

423

Menurut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, Presiden Donald Trump secara peribadi telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Syria, Bashar al-Assad mengenai kes wartawan Austin Tice, yang hilang sejak 2012.

Tambahnya lagi, pemimpin negara itu telah berulang kali berusaha untuk melibatkan pegawai Syria bagi membebaskan wartawan berkenaan. Di samping itu, Trump dikhabarkan telah menulis surat kepada Bashar al-Assad pada bulan Mac lalu untuk mengadakan sesi dialog bersama.

Untuk pengetahuan semua, Tice adalah wartawan bebas yang bekerja untuk Agence France-Presse, McClatchy News, The Washington Post, CBS dan organisasi berita lain ketika dia dilaporkan hilang setelah ditahan di pusat pemeriksaan dekat Damsyik pada 14 Ogos 2012.

Berdasarkan sebuah video yang didedahkan, pemuda malang yang berusia 30 tahun itu telah ditahan oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali dalam keadaan matanya ditutup.

Sejak daripada itu, tiada sebarang maklumat rasmi yang menjelaskan keadaan sebenar wartawan tersebut sama ada masih hidup atau telah mati.

Pada bulan Mac lalu, Trump mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah menulis sepucuk surat kepada pihak berkuasa di Damsyik, tanpa mendedahkan bahawa beliau sendiri yang berbuat demikian secara peribadi kepada Assad.

Oleh itu, Pompeo menegaskan bahawa komitmen presiden untuk membawa pulang semua warga Amerika Syarikat yang dijadikan tebusan atau ditahan secara salah di luar negara tidak patut diragui.

Justeru itu, Pompeo menegaskan bahawa beliau dan Trump berharap agar tidak wujud lagi sebarang pernyataan yang bercanggah berkenaan isu tersebut bahkan mereka akan sedaya upaya melakukan yang terbaik.

Setahun yang lalu, kerajaan Amerika Syarikat mendedahkan bahawa Tice masih hidup bahkan ibunya, Debra Tice mengatakan pada bulan Januari bahawa dia mempunyai informasi yang boleh dipercayai berhubung kenyataan tersebut, tanpa mengulas lanjut.

Pada tahun 2018 yang lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mengumumkan ganjaran bernilai $ 1 juta untuk sesiapa sahaja yang ingin berkongsi maklumat berkaitan kes kehilangan wartawan itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat