US dolar dilihat masih terus mengekalkan corak pengukuhannya sehingga ke dagangan penghujung sesi New York semalam walaupun ada paparkan situasi penyusutan di awal sesi tersebut.
Tumpuan diberikan terhadap terbitan data indeks harga pengeluar (PPI) yang diterbitkan dengan angka yang menepati ramalan manakala data tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat (AS) untuk minggu lepas catat bacaan baik dengan angka yang menurun.
Penganalisis pasaran buat ketika ini tidak melihat perubahan bagi pergerakan US dolar tersebut yang masih disokong oleh faktor sentimen kemenangan Trump dan kadar inflasi AS yang menunjukkan peningkatan pada Oktober.
Namun, amaran diberikan untuk dagangan pada sesi-sesi terakhir di penghujung minggu ini dengan risiko aktiviti pengambilan untung atau perubahan situasi yang lain.
Walaupun dilihat terdapat perubahan pada corak data terbaru yang hadir, namun masih belum mengubah pandangan bahawa Federal Reserve (Fed) akan melaksanakan pemotongan kadar faedah kali ketiga pada tahun ini, iaitu pada mesyuarat Disember.
Nada yang disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell pada Khamis dilihat lebih berwaspada, menyatakan bahawa bank pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah berikutan ekonomi AS dinilai masih lagi kukuh.
Ini menyusuli nada padangan yang sebelumnya telah disampaikan oleh Gabenor Adriana Kugler dan Presiden Fed Richmond, Thomas Barkin.
Menutup dagangan pada penghujung minggu ini, data jualan runcit AS akan diteliti yang boleh memberi gambaran terhadap perbelanjaan pengguna pada bulan Oktober.
Namun sebelum itu, data pertumbuhan ekonomi UK akan diberikan perhatian dahulu pada dagangan di sesi Eropah.