Dagangan pasaran mata wang di awal minggu suram dengan ketiadaan data-data ekonomi tumpuan yang boleh memacu arah pergerakan harga.
US dolar dilihat tidak meneruskan corak pengukuhan minggu lalu apabila pelabur menyaksikan mata wang itu bergerak lemah di sesi New York semalam.
Namun, penganalisis tidak melihat sebarang perubahan faktor yang sedang menyokong dagangan US dolar sejak minggu lalu yang memberi fokus kepada dasar monetari Federal Reserve (Fed) selain sentimen kemenangan Donald Trump pada pilihan raya.
Data ekonomi terbaru seperti inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mula menunjukkan lantunan semula telah menghadkan jangkaan untuk bank pusat meneruskan langkah pelonggaran dasarnya.
Ini disusuli pula oleh kenyataan disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell sendiri pada minggu lalu bahawa bank pusat tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah berikutan ekonomi dinilai masih kukuh.
Pelabur juga bimbang berkenaan polisi cukai dan tarif Trump selepas mengambil alih pentadbiran di White House yang berisiko melonjakkan semula inflasi.
Kebanyakan mata wang utama paparkan sedikit pemulihan pada dagangan Isnin semalam, namun masih berisiko berdepan tekanan pengukuhan semula US dolar selepas ini.
Tumpuan pasaran hari ini akan terarah kepada laporan minit mesyuarat bank pusat Australia (RBA) di sesi Asia dan minit bank pusat England (BOE) di sesi Eropah.
Di sesi New York pula, data inflasi Kanada akan diperhatikan pelabur untuk mendapatkan gambaran hala tuju dasar monetari bank pusat Kanada (BOC) yang berada pada landasan pelonggaran polisi mereka.
Perkembangan di Jepun, pegawai tertinggi bank pusat memberi isyarat untuk pengetatan lanjut dasar monetari, namun tidak menyatakan tempoh untuk pelaksanaan.
Gabenor Bank of Japan (BOJ) Kazuo Ueda menekankan bahawa ekonomi sedang berkembang dengan baik, membuka ruang untuk kenaikan kadar faedah dilaksanakan seawal bulan hadapan.