Walaupun tidak begitu ketara, namun US dolar pada dagangan Rabu semalam telah mula beransur-ansur menunjukkan corak pengukuhannya.
Sebagai mata wang safe-haven, penganalisis telah menilai potensi pengukuhan US dolar untuk tempoh terdekat ini berikutan konflik perang Rusia-Ukraine yang kembali tegang.
Ukraine pada Selasa telah melancarkan peluru berpandu ke Rusia yang menandakan tempoh 1,000 perang berlarutan, menggunakan senjata dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum ini yang dibenarkan oleh Presiden Joe Biden.
Perkembangan lanjut perang akan terus dipantau pelabur dalam suasana pasaran yang sedang berjaga-jaga ketika ini.
Dalam pada itu, dasar monetari Federal Reserve (Fed) masih diberikan tumpuan dalam menilai perubahan polisi pada pentadbiran Donald Trump yang akan datang.
Penurunan cukai dan tarif barangan oleh Trump mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan semula kadar inflasi di Amerika.
Situasi tersebut akan menyukarkan Fed untuk meneruskan pelonggaran dasar dan berkemungkinan perlu beralih semula kepada langkah mengetatkan dasar monetari mereka.
Meneliti terbitan data ekonomi, di sesi Eropah semalam telah diterbitkan data inflasi UK yang mencatatkan angka lebih tinggi kepada 2.3% untuk Oktober mengatasi ramalan 2.2%.
Peningkatan angka dari paras 1.7% bulan sebelumnya itu telah memberi kesan peningkatan sementara buat mata wang Pound, namun kembali susut semula pada dagangan sesi New York.
Untuk hari ini (Khamis), tumpuan akan terarah kepada data tuntutan faedah pengangguran dan jualan rumah AS.
Di penghujung minggu barulah tumpuan akan beralih kepada data-data PMI bagi menilai kesihatan semasa ekonomi menerusi sektor pembuatan dan perkhidmatan.