Meneliti pergerakan pasaran mata wang pada awal minggu semalam, US dolar kekal pamerkan prestasi suram yang dilihat menyambung corak penyusutan nilai minggu lalu.
Seperti yang dijangka penganalisis, faktor fundamental mendorong situasi serupa berterusan bersambung pada dagangan minggu ini.
Jika tiada faktor terbaru yang mengubah senario pasaran, US dolar dijangka akan terus kekal lemah sehingga menuju ke mesyuarat FOMC Disember nanti.
Dengan data-data penting terutama pekerjaan dan inflasi Amerika Syarikat (AS), majoriti pasaran melihat hala tuju dasar Federal Reserve (Fed) cenderung ke arah fasa pelonggaran.
Indeks dolar (DXY) jatuh lebih rendah ke paras 103.40 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS kembali susut semula ke sekitar 4.40%.
Mata wang Euro masih memanfaatkan situasi semasa untuk mencatatkan pengukuhan ke paras tertinggi 3 bulan berbanding US dolar.
Pound juga dilihat meneruskan kebangkitan di awal minggu untuk melepasi paras harga $1.2500 berbanding US dolar mengatasi ketinggian dicapai minggu lalu.
Mata wang Asia, dolar Australia dan New Zealand paparkan peningkatan sederhana di awal minggu dengan pelabur meneliti laporan minit mesyuarat diterbitkan bank pusat Australia (RBA) pada sesi Asia hari ini (Selasa).
Dolar Kanada sedikit melemah semalam sementara tumpuan akan diberikan kepada data inflasi Kanada di sesi New York malam nanti.
Yen Jepun dilihat semakin pulih sejak minggu lalu dan meneruskan pengukuhan semalam ketika US dolar masih didagangkan lemah, dengan harga kembali berada di bawah paras ¥150.00.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah meningkat positif di awal minggu semalam dengan minyak WTI AS berjaya capai paras $78.40 setong sementara minyak Brent pulih ke paras harga $82.80 setong.
Emas pula paparkan kejatuhan ke paras $1,966 sebelum harga dilihat pulih kembali ke sekitar $1,986 sehingga dagangan sesi Asia pagi ini.