Usah Khuatir, Situasi Ekonomi Negara Masih Terkawal

256

Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keadaan ekonomi semasa negara kerana situasi kewangan negara ini masih lagi terkawal meskipun kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang terlalu banyak sewaktu pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd. Rahim Bakri seperti dipetik oleh The Edge sebagai berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (PENJANA) berjumlah RM295 bilion selain suntikan dana fiskal bernilai RM45 bilion telah membantu merancakkan semula ekonomi negara.

“Mengikut data bulanan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pemulihan daripada situasi penguncupan ekonomi sebanyak 28.6% pada April kepada 19.5% pada Mei dan 3.2% pada Jun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh mengenai soal moratorium, Abd. Rahim berkata kerajaan telah meneliti kesan kewangan terhadap individu selepas moratorium tamat pada 30 September ini dan kini sedang memfokuskan ke arah moratorium bersasar.

“Kepada individu yang terjejas, mereka boleh berbincang dengan bank-bank mengenai penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman mereka dan sekiranya mereka mempunyai masalah, boleh juga berjumpa dengan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK),” ujarnya lagi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat