Optimisme pasaran untuk pengurangan pembelian aset oleh Federal Reserve (Fed) mulai bulan November dan kenaikan kadar faedah yang lebih cepat, telah mengangkat matawang US dolar ke tahap tertinggi satu tahun.
Berbanding sekumpulan matawang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan lebih tinggi pada 94.30.
Pengerusi Jerome Powell memberitahu dalam ucapannya di forum yang dianjurkan oleh Bank Pusat Eropah (ECB), bank pusat AS hampir mencapai matlamatnya dalam pekerjaan yang akan membolehkan pembuat dasar untuk mula menarik semula rangsangannya.
Beliau juga mengulangi bahawa lonjakan inflasi disebabkan faktor sementara, tetapi sekiranya ia berterusan sehingga ke tempoh yang lama, Fed akan bertindak balas.
Greenback tetap didagangkan tinggi walaupun kebuntuan Senat Amerika Syarikat mengenai had hutang (debt ceiling) yang berisiko mendorong penutupan kerajaan. Senat akan mengadakan undian sekali lagi untuk mendapatkan kesepakatan bagi menaikkan had hutang.
US dolar yang dianggap sebagai matawang safe-haven ketika pasaran berisiko, juga menguat sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana kebimbangan pasaran terhadap kenaikan harga tenaga yang mendorong kenaikan hasil bon AS lebih tinggi.
Dalam pada itu, sentimen pasaran juga ditekan oleh isu Evergrande yang gagal menyelesaikan pembayaran kupon bernilai $45.2 juta. Firma gergasi hartanah China itu juga gagal untuk menjelaskan pembayaran pada minggu lepas.
Ini menyebabkan matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi menjunam ke paras terendah hampir satu bulan berbanding greenback. Sementara matawang euro pula jatuh ke tahap terendah sejak akhir Julai 2020.