Mata wang gergasi US dolar terus didagangkan lebih rendah pada sesi Eropah apabila tumpuan pasaran kini beralih kepada keluaran data inflasi pengeluar Amerika Syarikat.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar diniagakan pada 103.62, selepas susut daripada paras 104.00 yang dicapainya pada Rabu, buat pertama kali sejak awal Januari.
Terdahulu, data jualan runcit AS telah diterbitkan dengan menunjukkan lonjakan secara mendadak pada bulan Januari selepas mengalami dua penurunan bulanan berturut-turut.
Ia pada mulanya memberi sokongan buat raja mata wang itu untuk meningkat, sebelum kembali mengurangkan keuntungan apabila melangkah masuk ke dagangan hari ini.
Menjadi tumpuan pelabur seterusnya adalah terbitan data indeks harga pengeluar (PPI) AS pada sesi New York yang dijangka akan meningkat pada bulan Januari.
Menjejaki pergerakan mata wang lebih meluas, dolar Aussie terus memulihkan kerugian yang dicatatkan selepas menyaksikan data pekerjaan Australia yang menyuramkan.
Data yang dikeluarkan menunjukkan bahawa pekerjaan Australia jatuh untuk bulan kedua berturut-turut pada bulan lepas dengan kadar pengangguran melonjak ke paras tertinggi 8 bulan.
Selain itu, mata wang euro dan pound diniagakan sedikit meningkat selepas masing-masing terjun ke paras terendah berbanding US dolar.
Yen pula kekal lemah dengan memaparkan pergerakan mendatar pada sesi Eropah, ketika pelabur menantikan pengesahan mengenai gabenor baharu Bank of Japan (BOJ).