USD Kecundang, Pound Tunjuk Taring!

201

Pengukuhan US dolar gagal dipertahankan pada dagangan awal minggu apabila mata wang pound mendapat keuntungan daripada tindakan terbaru dari Menteri Kewangan UK Jeremy Hunt.

Jeremy Hunt yang dilantik pada Jumaat lalu, telah melakukan ‘u-turn’ terbesar dalam dasar fiskal Perdana Menteri Liz Truss terdahulu yang telah ‘menjahanamkan’ pasaran kewangan.

Dalam kenyataan mengejutnya pada Isnin, Hunt memberitahu hampir semua rancangan pemotongan cukai yang bernilai £45 bilion akan dibatalkan.

Sementara tempoh subsidi tenaga untuk isi rumah dan perniagaan yang bakal menelan kos lebih £100 bilion akan dipendekkan sehingga April 2023.

Ekoran pengumuman itu, mata wang pound melonjak ke paras ketinggian dua minggu berbanding dolar greenback.

Menurut penganalisis, pound telah menjadi pemacu pasaran mata wang bulan ini, dan perubahan besar yang diumumkan kerajaan UK telah memulihkan kepercayaan terhadap mata wang itu dan melepaskan US dolar.

Berbanding kebanyakan mata wang utama lain, indeks dolar susut ke paras terendah satu minggu pada 112.15.

Sentimen pasaran juga bertambah baik selepas Bank of America melaporkan penurunan pendapatan suku tahunan yang lebih kecil daripada dijangkakan dengan mengatakan bahawa perbelanjaan pelanggan pengguna A.S. kekal kukuh, walaupun ia perlahan.

Euro pula meningkat lebih 1% susulan penyusutan dolar greenback, membawanya ke paras tertinggi sejak awal bulan ini.

Pelabur juga memberi tumpuan kepada Bank 0f Japan (BOJ) sama ada ia akan melaksanakan campur tangan sekali lagi dalam pasaran apabila mata wang yen merosot ke paras terlemah 32 tahun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat