USD Kekal Kukuh, Fed Dijangka Naikkan Kadar Faedah 50 Mata Asas Untuk 3 Mesyuarat Berturut

507

Pengukuhan US dolar dilihat diteruskan sehingga ke penghujung minggu ini mengekalkan prestasi cemerlang sejak awal minggu berikutan pelabur kekal optimis terhadap prospek kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed) selepas petunjuk yang disampaikan oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell minggu lalu.

Menjadi tumpuan pada dagangan sesi New York semalam, data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada bacaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku pertama mencatatkan angka yang mengecewakan.

Dengan jangkaan untuk menurun kepada 1.1% berbanding 6.9% sebelum ini, data yang diterbitkan mencatatkan penguncupan kepada -1.4%.

Namun itu tidak menghalang US dolar untuk masih terus berlegar di zon pengukuhannya walaupun kehilangan sedikit momentum.

Indeks dolar (DXY) telah mengatasi paras ketinggian pada 2017 lalu mencapai paras sekitar 104.00, iaitu paras tertinggi sejak Disember 2002.

Situasi ini turut dapat disaksikan pada pergerakan harga di carta pasangan USD/JPY di mana US dolar berjaya mengukuh berbanding Yen ke paras tertinggi 20 tahun pada kenaikan harga semalam.

Penyusutan Yen pula didorong oleh pengumuman dasar yang kekal dovish pada mesyuarat bank pusat Jepun (BOJ) semalam.

Beberapa pemerhati pasaran mula memberi isyarat ‘green light’ kepada pelabur untuk posisi jualan Yen susulan BOJ mengekalkan polisi ultra-dovish mereka, setelah sebelum ini Yen mengukuh dipacu oleh sentimen pasaran yang berisiko.

Sementara mata wang utama yang lain kekal tertekan dengan faktor pengukuhan US dolar menuju penutupan dagangan penghujung April minggu ini.

Berbanding US dolar, dolar Australia mencecah paras $0.70550 ke paras terendah terbaru 2 bulan manakala dolar New Zealand pula jatuh ke paras terendah sejak Julai 2020 mencecah paras $0.64500.

Bank of England (BOE) serta Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka untuk meningkatkan kadar faedah 25 mata asas pada mesyuarat polisi minggu hadapan.

Namun lebih menjadi tumpuan utama adalah kepada Fed yang dijangka untuk meningkat kadar faedah sehingga 50 mata asas.

Malah, penganalisis di Danske Bank meramalkan kenaikan 50 mata asas oleh Fed untuk 3 mesyuarat berturut-turut (Mei, Jun, Julai) serta kenaikan 25 mata asas untuk baki mesyuarat sehingga penghujung tahun (September, November, Disember).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat