USD Kembali Bangkit, Euro Jatuh Walaupun Inflasi Eropah Tinggi

656

Pasaran sesi Eropah telah diperlihatkan dengan beberapa penerbitan data dari Zon Eropah yang menyaksikan ekonomi Jerman berada di ambang kemelesetan.

Anggaran awal data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi terbesar di Eropah itu tidak berubah pada suku kedua, meleset daripada jangkaan untuk meningkat 0.1%.

Sementara di Perancis, ekonomi bertambah baik pada suku kedua dengan berkembang 0.5% daripada penguncupan 0.2% yang dicatatkan pada suku pertama.

Bacaan awal indeks harga pengguna (CPI) Zon Eropah tanpa dijangka meningkat kepada 8.9% pada bulan Julai daripada 8.6% yang dicatatkan pada Jun.

Ini menunjukkan tekanan harga di Eropah terus meningkat selepas Bank Pusat Eropah (ECB) cuba menangani inflasi dengan meningkatkan kadar faedah kali pertama dalam tempoh 11 tahun pada mesyuarat baru-baru ini.

Reaksi awal mata wang menunjukkan euro sedikit susut susulan terbitan data-data tersebut, selain turut terkesan dengan peningkatan yang dicatatkan US dolar.

US dolar susut ke paras terendah enam minggu berbanding yen, sekali gus membawa mata wang ninja itu ke landasan untuk keuntungan terbesarnya dalam tempoh empat bulan.

Jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan memperlahankan kadar kenaikan telah mendorong dolar greenback lebih rendah berbanding mata wang utama.

Bagaimanapun, raja mata wang itu kembali menunjukkan peningkatan pada sesi Eropah dengan indeks dolar diniagakan pada sekitar 106.00.

Namun demikian, pasaran kekal berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung oleh pelabur menuju dagangan penghujung minggu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat