US dolar menjunam ke paras terendah 2 minggu ketika pasaran masih lagi dipengaruhi oleh keputusan OPEC untuk menurunkan pengeluarannya dengan dolar Kanada menguat di puncak tertinggi 2 bulan.
Data yang dikeluarkan pada sesi New York memperlihatkan aktiviti pembuatan Amerika Syarikat merosot ke tahap terlemah sejak Mei 2020 pada bulan Mac, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan ekonomi gergasi itu.
Hal ini telah menambahkan tekanan buat dolar greenback yang sedia lemah untuk susut lebih rendah pada awal minggu, menyaksikan indeks dolar diniagakan pada sekitar 102.00 ketika sesi Asia.
Tumpuan pelabur kini beralih kepada mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) yang dijangka akan mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah pada 3.60%.
Sementara menantikan mesyuarat itu, dolar Aussie diperdagangkan lebih kukuh di paras tertinggi hampir 6 minggu berbanding US dolar.
Dolar kiwi pula paling kukuh 7 minggu dengan pelabur kini turut menantikan mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) yang akan berlangsung pada hari Rabu.
Selain itu di Eropah, euro dilihat kembali mendaki ke sekitar paras ketinggian yang dicapainya minggu lalu selepas memanfaatkan kelemahan dalam dagangan dolar greenback.
Mata wang pound pula menguat semula lebih tinggi yang membawanya diperdagangkan pada sekitar puncak tertinggi 10 minggu berbanding US dolar.
Dolar Kanada pula didagangkan tertinggi 2 bulan berbanding USD, masih memanfaatkan harga minyak yang lebih tinggi susulan keputusan mengejut OPEC di awal minggu.
Jom intai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.