Memasuki sesi pasaran Eropah, dagangan USD mula memaparkan sedikit kenaikan berbanding matawang utama lain namun masih didagangkan rendah di paras terendah dua tahun.
Matawang itu terus bergelut berikutan kebimbangan terhadap keadaan pemulihan ekonomi AS mungkin menjejaskan pertumbuhan di negara lain ekoran kes jangkitan Covid-19 yang masih mencatatkan peningkatan.
Setelah menyaksikan kelemahan dalam laporan pekerjaan ADP AS pada Rabu, pasaran kini mengalihkan tumpuan ke arah data NFP yang akan diterbitkan malam esok.
Sektor pekerjaan swasta AS dilaporkan hanya menambah 167,000 pekerjaan daripada unjuran sebanyak 1.5 juta. Sementara data PMI perkhidmatan tinjauan ISM pula melebihi jangkaan dengan peningkatan 58.1. Namun, komponen pekerjaan menunjukkan pengambilan pekerja dalam sektor perkhidmatan adalah lemah.
Tuntutan faedah pengangguran pada malam ini juga turut menjadi perhatian, di mana ia dijangka akan mencatatkan kemerosotan.
Perbincangan mengenai pakej rangsangan diteruskan yang menunjukkan kedua-dua pihak masih dipisahkan dengan pendapat berbeza.
Menurut pemimpin Senat Republikan, Mitch McConnell, kesepakatan itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan Presiden Donald Trump.
Dalam pada itu, Presiden Federal Reserve Bank of Cleveland, Loretta Mester memberitahu pandangannya bahawa ketidakpastian mengenai sokongan pengangguran adalah risiko terhadap prospek pertumbuhan ekonomi.