USD Susut, Sentimen Terus Disokong Oleh Optimisme Terhadap Pemulihan

580

Pasaran terus melepaskan pegangan terhadap dolar greenback di tengah-tengah pergolakan di Amerika Syarikat. Rusuhan semakin meluas walaupun arahan perintah berkurung telah dikeluarkan dan Presiden AS Donald Trump telah mengancam untuk menggunakan kuasa ketenteraan untuk menamatkannya.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama diniagakan susut pada 97.41.

Walaupun begitu, US dolar didagangkan ke paras tertinggi 2 bulan berbanding safe-haven yen dan menembusi paras harga 108.00 pada awal dagangan sesi New York, didorong oleh keyakinan pelabur bahawa impak ekonomi daripada perusuhan adalah terhad dan tidak kekal lama.

Ketika aktiviti ekonomi masih ditekan oleh krisis pandemik COVID-19, rusuhan yang sedang berlaku mungkin akan memperlambatkan pemulihan yang akan mengakibatkan kehilangan pendapatan berbilion dolar.

Tumpuan pelabur seterusnya akan beralih pada penerbitan data pekerjaan ADP dan PMI perkhidmatan AS pada malam ini, di mana laporan ADP dijangka akan melaporkan lebih banyak lagi kehilangan pekerjaan.

Matawang berisiko terus menokok lebih tinggi pada sesi Asia hari ini, dengan turut dipacu oleh optimisme terhadap pembukaaan semula ekonomi dan penurunan ketara dalam kes baru di Eropah telah mengangkat keyakinan pelabur.

Dolar Aussie meningkat ke paras ketinggian 5 bulan berbanding US dolar. Data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia bagi suku pertama 2020 yang diterbitkan pagi ini menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik daripada dijangkakan.

Sentimen positif pasaran turut mendorong dolar kiwi untuk juga diniagakan meningkat berbanding US dolar pada sesi Asia, ke paras tertinggi sejak Mac.

Sementara itu di Eropah, kebimbangan yang meningkat mengenai ketidakpastian yang membelenggu rundingan Brexit tidak menghalang matawang pound untuk didagangkan lebih tinggi berbanding USD.

Dalam pada itu, matawang euro juga diniagakan meningkat dengan jangkaan Bank Pusat Eropah (ECB) akan meningkatkan program pembelian bon bernilai 750 bilion euro dalam mesyuarat polisi pada Khamis.

Selain itu, dolar Kanada mengukuh ke paras tertinggi 3 bulan berbanding US dolar, sementara pasaran menantikan mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) pada malam ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat