Raja US dolar terus mendominasi pasaran pada sesi Eropah dengan diniagakan di paras tertinggi enam minggu berbanding pesaing utamanya.
Mata wang gergasi itu terus mendapat sokongan berterusan selepas data inflasi pengeluar Amerika Syarikat diterbitkan menunjukkan bacaan lebih kukuh daripada jangkaan pada bulan Januari.
Ia menguatkan pandangan bahawa Federal Reserve (Fed) boleh melanjutkan kenaikan kadar faedahnya untuk memerangi inflasi, lebih-lebih lagi data jualan runcit AS yang dikeluarkan pada Rabu juga kuat.
Bukan itu sahaja, malah beberapa penggubal dasar Fed turut menawarkan kenyataan hawkish mengenai kesediaan mereka untuk menaikkan kadar faedah lebih tinggi.
Terbaharu, Presiden Fed St Louis James Bullard mengatakan bahawa beliau mungkin menyokong kenaikan kadar 50 mata asas pada mesyuarat akan datang.
Pada sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan kukuh pada 104.40 berbanding enam mata wang utama lain.
Sementara itu, mata wang pound terus memperpanjangkan penyusutan di bawah paras harga 1.2000 berbanding US dolar, manakala euro juga suram pada sekitar harga 1.0650.
Turut menyaksikan kejatuhan parah, adalah mata wang berkaitan komoditi seperti dolar Aussie, New Zealand dan Kanada pada paras terendah mingguan berbanding greenback.
Dalam pada itu, mata wang yen pula terus terperosok lebih jauh menghampiri paras terlemah baharu dua bulan di tengah-tengah lonjakan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang tinggi.
Yen juga terkesan oleh ketidakpastian tentang pendirian gabenor baharu Bank of Japan (BOJ) sama ada beliau akan kekalkan dasar monetari yang longgar atau berubah ke arah pengetatan.