Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) stabil pada Selasa ketika negara itu menunggu untuk acara pilihan raya presiden yang bakal bermula.
Persaingan di antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Presiden Donald Trump membuatkan pelabur ingin tahu siapa yang bakal menjadi presiden seterusnya dan kesan terhadap kongres.
Perubahan dalam Kongres boleh membawa perubahan besar dalam perbelanjaan kerajaan dan cukai.
Selain perhatian pada pilihan raya minggu ini, Rizab Persekutuan (Fed) juga menjadi tumpuan pelabur, dengan jangkaan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas akan dilaksanakan.
Ini dilihat sebagai langkah kurang agresif berbanding pemotongan sebanyak 0.50% pada mesyuarat September lalu.
Meneliti indeks utama pada awal minggu semalam, Dow Jones telah jatuh 0.61%, S&P 500 turun 0.28%, dan Nasdaq jatuh 0.33%.
Gergasi teknologi turut merasakan kesannya, dengan Tesla jatuh 2.5%, Amazon 1.1% dan Meta 1.1%.
Walau bagaimanapun, Palantir Technologies menyaksikan sahamnya melonjak lebih daripada 13% selepas pendapatan suku tahunan yang positif dan ramalan yang menggalakkan.
Sementara, NXP Semiconductor menghadapi hari yang sukar, jatuh hampir 6% disebabkan kebimbangan mengenai ekonomi yang lebih luas.