“Agaknya berapa lama diperlukan untuk LTC capai $100? Adakah hari ini, esok atau minggu depan?”
Mata wang kripto Litecoin (LTC) yang berjaya menyaksikan pendakian drastik sebanyak 15% untuk melepasi paras $96 daripada $84 dijangkakan bakal meneruskan aliran kenaikan sehingga paras $100 ataupun lebih tinggi lagi.
Memang tidak dinafikan sepanjang 15 hari lalu LTC melihat pergerakan kukuh dengan melonjak lebih 40%, tetapi perlu diingatkan bahawa harganya telah menyentuh paras $100 beberapa kali pada tahun 2023.
Namun sekiranya LTC dapat menembusi zon rintangan $100, maka harganya berpotensi meningkat lebih tinggi untuk mencapai paras tertinggi baharu.
Umum mengetahui kenaikan harga LTC adalah disebabkan acara halving yang bakal berlangsung pada pertengahan Ogos 2023, di mana ia akan mengurangkan ganjaran blok daripada 12.5 LTC kepada 6.25% LTC setiap blok mining.
Susulan acara halving itu akan mencetuskan pengurangan dalam bekalan, harga LTC diramalkan mampu melepasi $100 dan pasaran kripto mungkin dapat bangkit kembali ekoran sentimen positif yang dikelilinginya.
Suka dimaklumkan aktiviti pelabur pada blockchain LTC telah meningkat apabila acara halving semakin menghampiri tarikhnya kemudian hash rate aset digital tersebut turut canak seminggu selepas transaksi pembayaran LTC cecah paras tertinggi sepanjang masa.
Pada bulan Jun 2023, hash rate mining LTC dan kesukaran mining yang semakin tinggi membawa makna bahawa mencari blok baharu akan lebih sulit, oleh itu miner telah bertindak menambah lebih banyak mesin untuk meningkatkan peluangnya mencari blok.
Hasilnya, rangkaian LTC capai hash rate tertinggi dengan mencecah 958.36 terahashen sesaat (TH/s) pada 28 Jun 2023 dan ia adalah salah satu petanda positif untuk rangkaian dan aset digital tersebut.