“Kesian Solana, SEC ni pun satu asyik nak label semua kripto sekuriti je.”
Yayasan Solana akhirnya meluahkan ketidaksetujuannya terhadap Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) yang baru-baru ini mentakrifkan beberapa lagi mata wang kripto lain termasuk SOL sebagai sekuriti.
Meskipun begitu, Yayasan Solana mengalu-alukan penglibatan penggubal dasar sebagai rakan kongsi yang dapat beri kejelasan berhubung undang-undang aset digital tetapi bukanlah bertindak agresif sehingga menghancurkan pasaran kripto.
Yayasan Solana yang ingin meyakinkan komunitinya turut mendedahkan misinya untuk terus mencipta blockchain paling terbaik pada masa hadapan dan inisiatif lain yang dapat mengembangkan lagi ekosistemnya.
Selain SOL, SEC yang turut melabelkan Cardano (ADA), Polygon (MATIC) dan Filecoin (FILE) adalah sekuriti setelah menyaman Binance dan Coinbase pada minggu lepas membawa makna bahawa ia boleh menyebabkan pelabur berpandangan negatif terhadap aset digital itu.
Walaupun mesej tersebut bertujuan untuk menenangkan komunitinya, langkah Yayasan SOL untuk menyakinkan mereka didapati agak lewat susulan kesan tindakan agresif yang dilakukan oleh SEC telah pun dirasai.
Ditambah pula pelabur semakin bimbang akan terdapat lebih banyak bursa kripto menyahsenarai SOL dan aset digital lain yang terjejas sehingga status sekuriti ditakrifkan semula, di mana kini Robinhood dilaporkan akan tamatkan sokongan untuk SOL, ADA dan Polygon (MATIC) pada 27 Jun 2023.
Sehingga berita ini ditulis, harga SOL menjunam sebanyak 1.18% pada paras $15.24 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $6 bilion seterusnya mencatatkan penurunan 29.39% sepanjang minggu lepas.