1.05 Juta Pekerja Malaysia Bakal Nikmati Dasar Gaji Progresif

494

Dasar Gaji Progresif dijangka akan memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja dengan anggaran pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2.2 bilion.

Kertas Putih yang dibentangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Negara tadi mengandungi tiga ciri utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan serta tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.

Dalam ucapannya ada menyebut Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS).

Katanya lagi, pelaksanaan dasar tersebut haruslah meningkatkan gaji progresif seiring dengan produktiviti pekerja. Secara tidak langsung, ini akan memberi manfaat pihak majikan dan pekerja dengan memperoleh faedah peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.

Hasrat utama kerajaan adalah untuk mewujudkan pasaran bakat yang lebih rancak iaitu memastikan majikan menawarkan gaji berdasarkan penetapan gaji progresif mengikut sektor untuk menarik minat bakat yang diperlukan dalam perniagaan mereka.

Berdasarkan inisiatif ini, Rafizi juga menjangka bahawa akan berlaku tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM 790 juta dan hasil cukai pendapatan sebanyak RM 1.8 bilion pada tahun yang dilaksanakan.

Kenaikan gaji akan meningkatkan kuasa beli masyarakat dan akan meningkatkan kesan berganda kepada penggunaan serta pelaburan swasta.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat