Euro Dollar yang dibuka sekitar 1.2475 Isnin semalam, menyusut 60 mata, ke paras terendah harian sekitar 1.2415 sebelum kembali menguat sekitar 1.2470 pada lewat petang sesi dagangan London. Dengan Dollar yang sedikit melemah selepas kenyataan Presiden Federal Reserve Atlanta minggu lalu yang tidak menyokong kenaikan “interest rate” Amerika Syarikat; secara tidak langsung membantu menstabilkan kejatuhan Euro yang sememangnya dalam “bearish” sentimen lantaran bebanan hutang yang tinggi dan risiko politik yang baru di Greece.
EU Task Force melaporkan pelaburan di 28 negara kesatuan eropah itu, secara purata adalah 15% lebih rendah dari paras sebelum krisis, dan di sesetengah negara terutamanya di bahagian selatan yang terjejas teruk, ianya mencatatkan kejatuhan lebih 60%. Pelaburan yang rendah akan menyebabkan kekangan pada aktiviti ekonomi dan seterusnya mengurangkan atau mungkin melenyapkan terus peluang-peluang pekerjaan yang baru. Kadar pengangguran yang tinggi bakal memberi masalah lain seperti demonstrasi jalanan dan pelbagai masalah sosial.
Hari ini, dengan 3 data berimpak tinggi dari Euro-Zone; Perancis dan Jerman dengan “markit manufacturing PMI” yang dijangka lebih baik dari bulan lepas, dan Jerman dengan “economic sentiment” yang juga dijangka jauh lebih baik; Euro dilihat bakal mencabar US Dollar sebelum mesyuarat FOMC Khamis ini.