Euro Dollar melonjak naik lebih 70 pips Selasa semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar 1.0635 sebelum menutup sekitar paras 1.0630; setelah data pembuatan Sepanyol dilaporkan lebih baik dari jangkaan. Pada masa yang sama, data pekerjaan Jerman dan Eropah juga memberansangkan, disamping para pelabur yang membeli bagi menutup jualan mereka untuk mengambil keuntungan sebelum mesyuarat ECB esok.
Di pasaran Eropah, Markit melaporkan bahawa aktiviti pembuatan Sepanyol, yang merupakan antara kuasa ekonomi terbesar di Eropah selain Jerman, telah melonjak kepada 53.1 berbanding 51.3 pada sebelum ini. Pasaran meramalkan kenaikan hanya sekitar 51.9 sahaja. Dalam pada itu, jumlah penganggur di Jerman telah berkurang sebanyak 13 ribu, berbanding pengurangan 6 ribu sebelum ini. Pasaran menjangkakan pengurangan sebanyak 4 ribu sahaja. Kadar pengangguran seluruh Eropah juga berkurang dari 10.8% kepada 10.7%; sekaligus menunjukkan ekonomi Eropah yang semakin pulih.
[adrotate group=”6″]
Ketidakpastian mesyuarat ECB telah membawa kepada kejatuhan nilai Euro sejak beberapa bulan lepas, berbanding dengan kebanyakan mata wang utama. Berbanding Dollar ia jatuh 3.83%, ia jatuh 2.17% berbanding yen, 1.21% berbanding Sterling dan 2% berbanding Yuan. Mesyuarat ECB esok akan menjadi penentu sekiranya ransangan tambahan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Hari ini Euro-Zone bakal melaporkan data inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 0.1% kepada 0.2%, manakala inflasi teras yang tidak termasuk makanan, tenaga, alkohol dan tembakau; dijangka stabil tidak berubah pada 1.1%. Amerika Syarikat pula bakal melaporkan data pekerjaan sektor bukan perladangan dari ADP, yang dijangka bertambah dari 182 ribu kepada 191 ribu pekerjaan.