Euro Dollar berada dalam dagangan tipis dan “ranging” Selasa semalam, dengan pergerakan sekitar 50 mata, apabila para pelabur mengabaikan “economic sentiment” Jerman dan Euro-Zone yang lebih baik, dan mula menumpukan perhatian kepada mesyuarat ECB Khamis esok. Dalam satu bancian Bloomberg, para penganalisa ekonomi menjangka ECB bakal mengumumkan program pembelian bon-bon negara Kesatuan Eropah sebanyak 550 bilion Euro.
Euro-Zone yang telah berdepan dengan krisis ekonomi selama lebih 5 tahun, dikejutkan pula dengan ketidakyakinan SNB untuk terus membeli Euro pada kadar 1.2000, walaupun sebelum itu Presiden SNB Thomas Jordan, berkali-kali mengatakan nilai tukaran itu akan terus dipertahankan bagi menjamin eksport Switzerland. Ahad ini pula, Greece bakal berdepan dengan pilihanraya presiden, yang bakal menentukan masa depan Greece dalam Euro-Zone.
Dengan ketiadaan data ekonomi dari Euro-Zone hari ini, Dollar dilihat bakal terus menguasai pasaran terutamanya jika data ekonomi “building permit” Amerika Syarikat dilaporkan lebih baik dari jangkaan 1.06 juta dan 1.03 juta pada bulan sebelumnya. Para pedagang dilihat bakal meneruskan strategi “sell-on-rally”.