Emas yang awalnya meningkat lebih $9/oz pada sesi Asia, merudum lebih $13/oz sepanjang sesi Eropah Isnin semalam; apabila pasaran mula memberikan tumpuan awal kepada mesyuarat FOMC yang bakal berlangsung awal pagi Khamis ini. Ketika artikel ini ditulis, harga emas sedang berada diatas pivot mingguan – sekitar $1,159.58 dan carta harian masih lagi dalam fasa downtrend dengan pembatalan pada sekitar $1,202.67/oz
Semenjak pasaran dipenuhi spekulasi kenaikan awal “interest rate” AS, emas telah jatuh lebih $150/oz sejak hujung Januari lepas. Kejatuhan ke paras terendah sekitar $1,147.43 pada minggu lepas, telah digunakan sebaiknya oleh para pelabur jongkong emas dan bank-bank pusat bagi meningkatkan simpanan emas fizikal mereka. Emas yang tidak membayar sebarang “interest” sudah tentunya hilang tarikan dengan kenaikan sebarang “interest rate”.
Di pasaran hadapan, sentimen dilihat bercampur-campur, dengan harga tertinggi untuk kontrak Jun 2015 pada sekitar $1,164 dan kontrak Ogos 2015 pula, pada sekitar $1,163.8 Dalam satu laporan Bloomberg, dana berasaskan emas dilaporkan susut nilai dua minggu berturut-turut dan yang terburuk sejak 2014. Pegangan Dana terbesar dunia, SPDR Gold Holdings, telah jatuh kepada 750 tan emas – yang terendah sejak Januari lalu. Pasaran dijangka ‘ranging’ sehingga mesyuarat FOMC awal pagi Khamis nanti.