Harga emas melonjak lebih $18.80/oz Khamis semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,065.50/oz sebelum menutup sekitar paras $1,061.75/oz; setelah Euro melonjak berbanding Dollar apabila Presiden Bank Pusat Eropah Mario Draghi mengejutkan pasaran dengan mengekalkan jumlah dana ransangan dan kadar pembiayaan semula, tetapi menurunkan kadar deposit dan memanjangkan tempoh ransangan melangkaui September 2016 dalam mesyuarat dasar monetarinya semalam.
Euro meningkat lebih daripada 2% berbanding Dollar, manakala Indeks Dollar yang mengukur kekuatan Dollar AS berbanding sekumpulan enam mata wang utama lain, terhempas 1.5% kepada sekitar 98.55. Presiden Bank Pusat Eropah Mario Draghi tidak membuat sebarang perubahan pada saiz program pembelian aset bulanan, mengekalkannya pada €60 bilion. ECB juga menurunkan kadar kemudahan depositnya kepada -0.3% daripada -0.20%; walaupun mengekalkan kadar pinjaman pada rekod rendah 0.05%, sejajar dengan jangkaan pasaran.
[adrotate group=”6″]
Emas untuk penghantaran Februari di New York Mercantile Exchange melonjak $4.50, atau 0.45%, diniagakan pada sekitar $1,058.30/oz pada sesi pagi New York. Sebelum daripada itu, ia jatuh ke sekitar paras $1,045.40 – paras yang tidak pernah dilihat sejak Februari 2010, di tengah-tengah jangkaan pasaran bahawa Federal Reserve AS akan menaikkan kadar pada mesyuarat FOMC 15-16 Disember ini.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan data pekerjaan yang ditunggu-tunggu pasaran – NFP yang dijangka mengurang dari 271 ribu kepada 201 ribu pekerjaan, kadar pengangguran yang dijangka stabil tidak berubah pada 5%, dan pendapatan purata sejam yang dijangka menurun dari 0.4% kepada 0.2%. Sebarang laporan yang memberansangkan dilihat akan menguatkan sentimen kenaikan kadar AS; sekaligus membantu sokongan belian untuk Dollar dan merudumkan nilai emas.