Harga minyak mentah kembali merudum Rabu semalam, selepas Federal Reserve AS mengumumkan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 0.5%, yang merupakan kenaikan yang pertama dalam tempoh hampir 10 tahun sejak krisis kewangan 2008. Indeks Dollar AS yang mengukur kekuatan matawang Amerika Syarikat itu, melonjak semula dari paras terendah harian sekitar 97.60 mata untuk menutup lebih tinggi sekitar 98.40 mata.
Di New York Mercantile Exchange, Crude bagi penghantaran Januari susut lebih $2.00 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $35.30 setong, sebelum menutup sekitar paras $35.65 setong; manakala di Intercontinental Exchange London, Brent bagi penghantaran Februari pula susut lebih $1.50 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $37.20 setong, sebelum menutup sekitar paras $37.55 setong.
[adrotate group=”6″]
Dalam pada itu, stok minyak mentah AS dilaporkan meningkat menurut data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) semalam, sekaligus mengejutkan penganalisis yang menjangka kejatuhan inventori. Data EIA menunjukkan inventori minyak mentah meningkat 4.8 juta tong minggu lalu kepada hampir paras tertinggi dalam rekod, manakala penganalisis dalam satu tinjauan Reuters meramalkan penurunan sebanyak 1.4 juta tong.
Menambah kepada gambaran global yang secara umumnya negatif, pengeluar OPEC melihat peluang terhad yang ketara untuk kenaikan harga minyak pada 2016; terkesan dari pengeluaran tambahan dari Iran yang boleh menambah lebihan yang berterusan, dan prospek untuk kekangan pengeluaran secara sukarela yang masih jauh.