Harga minyak mentah terus merudum Rabu semalam, dengan Crude jatuh lebih $2.05 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $39.80 setong, sebelum menutup sekitar paras $40.10 setong; manakala Brent pula jatuh lebih $2.15 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $42.90 setong, sebelum menutup sekitar paras $43.15 setong; setelah spekulasi pasaran mengatakan ia kelihatan tidak mungkin bahawa Arab Saudi akan mengurangkan pengeluaran.
Pada masa yang sama, para trader berkata penurunan itu adalah disebabkan oleh peningkatan dalam stok minyak mentah Amerika sebanyak 1.6 juta tong yang menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 489.9 juta tong, berbanding dengan jangkaan penganalisis untuk penurunan sebanyak 471 ribu tong. Peningkatan ini akan menambah kepada lebihan bekalan berterusan, yang menyaksikan antara 500 ribu hingga 2 juta tong sehari minyak, yang dihasilkan melebihi permintaan, sekaligus membawa kepada kejatuhan harga lebih 60% sejak Jun 2014.
[adrotate group=”6″]
Satu mesyuarat oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Jumaat ini di Vienna, dijangka tidak akan membawa sebarang perubahan kepada polisi kumpulan itu, yang menyaksikan ia mengekalkan pengeluaran yang tinggi, dalam usaha untuk mempertahankan bahagian pasaran terhadap pengeluar lain seperti Rusia dan Amerika Utara.
“Fokus pasaran minggu ini adalah persidangan OPEC yang ke-168 pada hari Jumaat dan inventori minyak mentah AS. Pasaran kini mengharapkan saham minyak mentah merosot hingga ke akhir tahun ini, sejajar dengan musim. Dasar OPEC yang banyak dipengaruhi oleh pengeluar terbesar, Arab Saudi, dijangka akan tegas mengekalkan pengeluaran minyak yang mantap dalam menghadapi penurunan harga.” menurut satu laporan dari ANZ Bank.