Sebuah kedai buku yang terletak di Barrio Norte, Buenos Aires pasti menggamit pandangan pengunjung yang masuk ke dalamnya. Bangunan 21,000 kaki persegi itu mampu menenggelamkan sesiapa sahaja dalam lautan buku kerana keluasannya saujana mata memandang.
Bangunan yang asalnya digelar Grand Theatre Splendid telah direka oleh dua orang arkitek iaitu Pero dan Torres Armengol dan dibuka pada tahun 1919. Kemudian, pada lewat 20-an, pentas teater itu diubahsuai dan bertukar wajah menjadi sebuah panggung wayang yang menayangkan filem bunyi pertama di Argentina.
Seterusnya pada tahun 2000, seorang arkitek bernama Fernando Manzone mengubah bangunan tersebut menjadi sebuah kedai buku.
Idea tersebut menjadikan kedai buku ini antara tempat tumpuan pelancong yang hadir ke Buenos Aires serta menyambut kira-kira 1 juta pengunjung setiap tahun.