Aussie Dollar melonjak lebih 95 pips sepanjang sesi Eropah Selasa semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $0.7020 sebelum menutup sekitar paras $0.7005; walaupun pasaran Australia ditutup untuk cuti umum. Dollar Australia kembali kukuh berikutan kenaikan harga emas, walaupun penganalisis melihat kenaikan ini bersifat sementara, ekoran penjualan Dollar AS selepas pembelian besar sejak beberapa bulan lalu.
Dollar AS susut berbanding kebanyakan matawang utama, apabila para pelabur menunggu mesyuarat dasar Federal Reserve AS yang dijadualkan pada awal pagi Khamis nanti. Feds akan memulakan mesyuarat dasar selama dua hari, sebelum mengeluarkan kenyataan media pada awal pagi Khamis. Pasaran secara umum menjangka bahawa Feds tidak akan mengambil apa-apa tindakan lanjut, ekoran harga minyak yang masih tidak menentu.
[adrotate group=”6″]
Hari ini Australia melaporkan data inflasi suku keempat 2015 yang dijangka turun dari 0.5% kepada 0.3%, walaupun inflasi teras dijangka naik dari 0.3% kepada 0.5%. Harga pengguna yang rendah menunjukkan permintaan yang kurang dan seterusnya aktiviti ekonomi yang lemah. Malamnya pula, Amerika Syarikat bakal melaporkan jualan rumah baru yang dijangka meningkat dari 490 ribu unit kepada 503 ribu unit.