Selepas menimbulkan sedikit ketegangan dan dikritik hebat oleh Presiden Donald Trump, drone air milik kerajaan AS akhirnya dikembalikan oleh China.
Kementerian Pertahanan Negara China mengatakan bahawa proses tersebut berjalan lancar diantara kedua-dua pihak selepas drone tersebut dirampas di Perairan Laut China Selatan. Namun, keadaan drone tersebut masih tidak diketahui.
Dalam laporan oleh Fox News sebelum ini, proses mengembalikan drone tersebut akan dilakukan di Scarborough Shoal berhampiran Laut China Selatan, berdekatan tempat ia dirampas. Sebuah kapal perang AS juga hadir bagi mengiringi proses mengembalikan drone tersebut.
Menurut Pengarah Pusat Pengajian China di Universiti Nanjing, hubungan China dan juga AS sedikit tegang berikutan insiden berkenaan jika ia kekal berterusan.
Trump sebelum ini ada membidas China berikutan insiden berkenaan selepas menyifatkan tindakan mereka amat “tidak disangka”. Ketegangan juga semakin memuncak apabila Trump menghantar tweet yang lain bahawa beliau tidak mahukan drone yang telah dicuri dan mengarahkan China menyimpannya sahaja.
Isu Laut China Selatan juga dikatakan akan menimbulkan perbalahan dalam hubungan China dan AS apabila Trump mengambil alih jawatan Presiden AS pada 20 Januari nanti.