Euro Dollar berada dalam dagangan bercampur-campur Selasa semalam, naik turun dari paras tertinggi harian sekitar $1.1465 ke serendah $1.1345, sebelum menutup sekitar paras $1.1385; setelah data inflasi Jerman menepati jangkaan. Namun Dollar masih bertahan, selepas para pelabur menilai semula minit mesyuarat FOMC dan kenyataan beberapa presiden Feds cawangan yang terbaru.
Di pasaran Eropah, bank-bank yang paling kukuh Itali, syarikat insurans dan pengurus aset bersetuju untuk mewujudkan dana pelindung sebanyak €5 bilion untuk menyelamatkan bank-bank yang lemah, dalam usaha untuk menenangkan kebimbangan pelabur mengenai kestabilan sektor perbankan dalam ekonomi ketiga terbesar Euro-Zone.
Dana menyelamat, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Matteo Renzi selepas mesyuarat enam jam bersama pembiaya, pengawal selia dan menteri-menteri di Rom, datang selepas kejatuhan nilai saham bank-bank Itali pada awal tahun ini, ekoran kebimbangan mengenai kesan €360 bilion hutang lapuk yang mengancam kestabilan sistem kewangan Itali.
[adrotate group=”6″]
Dalam pada itu, Indeks Dollar kini telah mencecah kepada paras rendah dalam masa lapan bulan, sekitar 93.58 mata semalam. Indeks yang mengukur kekuatan Dollar AS berbanding enam matawang utama itu – EUR, GBP, JPY, CAD, CHF, SEK – telah susut hampir 3% selepas komen ‘dovish’ oleh Pengerusi Federal Reserve AS Janet Yellen baru-baru ini, yang menurunkan jangkaan kenaikan kadar AS dalam masa terdekat.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan data jualan runcit bulan Mac yang dijangka bertambah baik dari -0.1% kepada 0.1% dan harga pengeluar yang juga dijangka bertambah baik dari -0.2% kepada 0.3%. Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari Eropah hari ini.