Euro Dollar kembali susut lebih 80 pips Jumaat lalu, untuk ke paras terendah harian sekitar $1.0790 sebelum menutup sekitar paras $1.0795; setelah pasaran terus memberikan reaksi kepada kenyataan negatif Presiden ECB Mario Draghi dan data ekonomi Euro-Zone yang kurang memberangsangkan. Data PMI pembuatan dan perkhidmatan Jerman meleset dari ramalan, sekaligus menekan matawang tunggal blok ekonomi Eropah itu. Khabar angin mengenai masalah hutang lapuk daripada bank Itali juga membimbangkan pasaran.
Dollar telah meningkat kira-kira 10% berbanding Euro sejak Januari lalu, apabila ECB mengumumkan pelancaran program pelonggaran kuantitatif komprehensif bertujuan untuk mengelak deflasi dan mengukuhkan pertumbuhan di Euro-Zone. Program tersebut melibatkan pembelian pelbagai aset sebanyak €60 bilion sebulan oleh ECB, bagi meningkatkan jumlah bekalan wang yang tersedia untuk bank-bank memberi pinjaman kepada perniagaan dan individu.
[adrotate group=”6″]
Inisiatif pelonggaran besar-besaran juga biasanya menolak kadar ke paras yang lebih rendah, disamping mengurangkan pelaburan domestik oleh pelabur asing dan melemahkan matawang tempatan berbanding pesaing utamanya. Dalam keadaan semasa yang tidak menentu, Itali – terutamanya bank-bank – telah menjadi mangsa keadaan. Indeks perbankan Itali turun 18% dan bank ketiga terbesar dan paling bermasalah dalam sejarah Itali, Monte dei Paschi, telah kehilangan 50% daripada nilai sahamnya dan menjadikannya kejatuhan paling dramatik pada minggu lepas.