Euro Dollar kembali merudum lebih 85 pips Jumaat lalu, untuk ke paras terendah harian sekitar $1.1110 sebelum menutup sekitar paras yang sama, selepas cuba mendaki sehari sebelumnya; apabila Dollar kembali mendapat permintaan dengan sentimen kenaikan kadar AS seawal Jun depan terus diperkukuhkan melalui laporan ekonomi AS yang memberansangkan.
Di pasaran Eropah, ECB diberitakan telah meningkatkan program rangsangan yang sudah sedia besar, termasuk penurunan kadar dan pembelian aset, dalam usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, pinjaman dan memulihkan inflasi rantau itu yang masih kekal rendah dan jauh daripada sasaran 2%. Bacaan inflasi yang lalu pada April menunjukkan bahawa wilayah itu telah jatuh kembali ke dalam deflasi.
“Eropah adalah tempat yang berbeza. Ekonominya masih sangat lemah dan kita tidak benar-benar melihat banyak pertumbuhan, dalam persekitaran itu saya fikir ia akan menjadi satu kesilapan untuk ECB mengetatkan dasar. Saya melihat mereka lebih cenderung untuk mengekalkan kadar pada masa ini dan melihat sama ada langkah-langkah lebih drastik yang telah mereka ambil akan berkesan.” menurut Axel Weber, bekas Presiden Bundesbank Jerman.
Di pasaran Amerika Syarikat, indeks Dollar yang mengukur kekuatan Dollar AS berbanding enam matawang utama, kembali melonjak lebih 65 mata untuk ke paras tertinggi harian sekitar 95.73 mata sebelum menutup sekitar 95.70 mata, selepas laporan pertumbuhan ekonomi (GDP) AS untuk suku pertama 2016 dilaporkan berkembang pada 0.8% berbanding 0.5% pada suku keempat 2015. Pasaran AS bercuti sempena ”memorial day’ hari ini.