Euro Dollar melonjak lebih 115 pips sepanjang sesi Asia dan pagi Eropah Isnin semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1.0945, selepas laporan pembuatan Jerman dan Euro-Zone dilaporkan lebih baik daripada jangkaan, secara keseluruhan membantu meningkatkan matawang tunggal Eropah itu. Namun, kenaikan tersebut terbantut apabila drama Arab Saudi Iran dilaporkan memacu permintaan untuk Dollar, menyebabkan kadar tukaran EUR/USD merudum lebih 160 pips sepanjang sesi New York, untuk ke paras terendah harian sekitar $1.0780 sebelum menutup sekitar paras $1.0830.
Data PMI Pembuatan Jerman mencatatkan paras empat bulan tertinggi dan meningkat kepada 53.2 mata, lebih tinggi daripada bacaan 53 mata yang dicatatkan sebelumnya. PMI Perkhidmatan bagaimanapun mencatatkan kejatuhan selama dua bulan. Indeks aktiviti perkhidmatan dilaporkan sebanyak 55.4 mata berbanding bacaan awal 55.6 mata. Indeks Komposit Output Jerman pula dilaporkan pada 54.9 mata, mencecah paras 2 bulan terendah.
[adrotate group=”6″]
Data tersebut membuktikan syarikat-syarikat sektor swasta di Jerman menikmati sebulan lagi pertumbuhan output yang kukuh pada bulan Disember. Syarikat swasta Jerman juga menaikkan bilangan kakitangan mereka. Kadar pewujudan pekerjaan adalah yang paling ketara dalam empat tahun, walaupun perniagaan baru meningkat pada kadar yang lebih lemah pada bulan Disember lalu. Pada masa yang sama, inflasi Jerman dilaporkan meleset dari jangkaan 0.2% dan 0.1% pada bulan sebelumnya, apabila ianya dilaporkan 0.1% di bawah sifar.
Hari ini Euro-Zone bakal melaporkan inflasi tahunan yang dijangka meningkat dari 0.2% kepada 0.4% pada bulan Disember dan inflasi teras yang dijangka naik dari 0.9% kepada 1%. Jerman dan Sepanyol pula akan melaporkan angka pengangguran mereka. Tiada sebarang laporan ekonomi berimpak tinggi dari Amerika Syarikat hari ini.