Euro Dollar berada dalam dagangan bercampur-campur Isnin semalam, naik turun dari paras terendah harian sekitar $1.0940 ke setinggi $1.1025, sebelum menutup sekitar paras $1.1015; setelah pegawai-pegawai Kesatuan Eropah berkata mereka berhasrat untuk memulihkan pergerakan bebas di kawasan bebas sempadan menjelang akhir tahun, dengan syarat Turki menghentikan pendatang dan isu pelarian di Greece berjaya diselesaikan.
Di pasaran Eropah, menteri-menteri menamakan bantuan Turki dalam menangani aliran pendatang adalah keutamaan Eropah sejak lebih setahun lalu, tetapi perjanjian €3 bilion pada tahun lepas dengan Ankara telah gagal untuk menahan ketibaan besar pendatang. Sekitar 2,000 orang tiba di pulau-pulau Greece setiap hari. Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, 126 ribu pendatang telah mendarat di Greece sejak Januari, berbanding dengan 12 ribu dalam tempoh yang sama setahun lepas.
[adrotate group=”6″]
Isu pendatang ini telah mendapat perbahasan hangat, ekoran UK yang meletakkan kawalan pendatang dan reformasi kewangan sebagai syarat untuk kekal dalam Kesatuan Eropah. Ramai dari pendatang-pendatang ini telah menembusi sempadan EU dan memasuki Britain untuk mencari perlindungan dan pekerjaan, sekaligus menyebabkan rakyat Britain mahu kemasukan mereka dikawal, ekoran peluang pekerjaan yang semakin sempit akibat kebanjiran pendatang ini.