Harga emas berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, turun naik dari paras tertinggi harian sekitar $1,286.46/oz ke serendah $1,268.85/oz, sebelum menutup sekitar paras $1,277.60/oz; setelah Dollar AS mendapat sokongan belian terkesan dari komen dua Presiden Feds cawangan yang mengatakan kenaikan kadar pada mesyuarat Jun ini adalah sesuatu yang pasti sekiranya laporan ekonomi AS berada pada tahap yang diharapkan.
Indeks ICE Dollar AS, ukuran kekuatan Dollar berbanding sekumpulan enam matawang – EUR, GBP, JPY, CHF, CAD, SEK – meningkat 0.7% kepada 93.82 mata. Indeks tersebut akhirnya berjaya memecah kejatuhan selama enam hari berturut-turut, selepas mencapai paras terendah tahunan sekitar 91.84 mata. Pasaran seolah-olah mengenepikan beberapa laporan ekonomi AS yang bercampur-campur, dan terus memacu dalam reaksi kepada komen kedua-dua Presiden Feds cawangan tersebut.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan angka pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP) yang dijangka berkurang dari 215 ribu kepada 203 ribu dan kadar pengangguran yang stabil pada 5%. Namun laporan sektor swasta dari ADP rabu lalu, yang melaporkan pasaran pekerjaan hanya menambah 156 ribu jawatan berbanding 194 ribu pada sebelum ini, dan meleset dari jangkaan sebanyak 205 ribu; menimbulkan keraguan sama ada laporan Jabatan Buruh pada malam ini akan memberansangkan.
Di pasaran hadapan Chicago semalam, kontrak emas untuk bulan Jun, Ogos dan Disember terus mendapat permintaan dengan penghantaran bulan Jun mendapat permintaan tertinggi sebanyak 168,856 kontrak, Ogos sebanyak 9,194 kontrak dan Disember pula sebanyak 2,481 kontrak. ‘Open interest’ terbanyak adalah untuk kontrak Jun sebanyak 403,678 kontrak diikuti Jun dan Disember, dengan masing-masing sebanyak 72,649 dan 34,104 kontrak.