Harga minyak terus memacu naik untuk hari kedua, selepas kebakaran di wilayah pengeluar minyak Alberta Kanada bertambah buruk. Kebakaran yang menghentikan pengeluaran lebih 1 juta tong minyak mentah sehari itu, dilihat sebagai pengimbang kepada rebutan bahagian pasaran di kalangan pengeluar minyak OPEC, terutamanya Iran dan Arab Saudi yang tidak sehaluan dalam menghadkan pengeluaran bagi mencapai kestabilan harga.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun memacu naik lebih $2.30 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $46.35, sebelum menutup sekitar paras $45.98 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Julai memacu naik lebih $2.85 setong, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $47.73, sebelum menutup sekitar paras $47.27 setong.
Para trader berkata bahawa kenaikan harga mungkin akan dihadkan pada hari ini, ekoran kebimbangan terhadap gangguan bekalan dari Kanada mula susut selepas pengeluar kelihatan kembali semula kepada operasi mereka pada lewat petang New York semalam. Dengan pengeluaran minyak syal Kanada yang secara beransur-ansur kembali pulih, ramai trader kini mengatakan bahawa kenaikan harga sekarang boleh mula pudar.
Pada masa yang sama, laporan Jabatan Maklumat Tenaga (EIA) AS yang terbaru tentang pengurangan minyak komersil kembali menceriakan pasaran. Dalam laporan terbaru semalam, EIA melaporkan bahawa bekalan minyak komersil telah berkurang sebanyak 3.4 juta tong berbanding penambahan sebanyak 2.8 juta tong pada minggu lepas. Angka tersebut jauh lebih baik dari jangkaan pasaran untuk penambahan sebanyak 100 ribu tong.