Harga minyak berada dalam dagangan ‘sideway’ Jumaat lalu, setelah pasaran berada dalam mood tidak pasti dan mencari hala tuju seterusnya. Kebanyakan pelabur dan trader mula mengambil untung belian selepas kebakaran di wilayah pengeluar minyak Alberta, Kanada mula terkawal dan pekerja dilaporkan mula bersedia untuk kembali beroperasi. Pada masa yang sama, kenaikan nilai Dollar AS terus mengekang kenaikan harga minyak.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun naik turun dari paras terendah harian sekitar $45.70 setong ke paras tertinggi harian sekitar $46.77 setong, sebelum menutup sekitar paras $46.38 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Julai naik turun dari paras terendah harian sekitar $46.84 setong ke paras tertinggi harian sekitar $48.18 setong, sebelum menutup sekitar paras $47.90 setong.
Shell Kanada diberitakan akan memulakan kembali operasi pengeluaran minyak syal di wilayah Alberta, Kanada pada minggu ini selepas kebakaran selama enam hari yang menghentikan pengeluaran lebih 1 juta tong sehari bagi seluruh pengeluar-pengeluar minyak di wilayah tersebut. Jabatan Maklumat Tenaga AS (EIA) melaporkan bahawa pengeluaran minyak pada bulan April mencapai purata 9 juta tong sehari, 100 ribu tong lebih rendah dari paras bulan Mac dan 700 ribu tong lebih rendah dari paras yang dicapai pada April 2015.
Pada masa yang sama, syarikat perunding industri minyak dan gas, Baker Hughes melaporkan pada Jumaat lalu bahawa pelantar minyak AS yang aktif telah berkurang sebanyak 10 buah menjadikan jumlah semuanya sebanyak 318 buah; sekaligus menjadikan ianya kejatuhan minggu kelapan berturut-turut. Amerika Syarikat merupakan pengeluar minyak terbesar dunia, walaupun Arab Saudi adalah pengeksport minyak terbesar dunia. Ini disebabkan AS lebih banyak menggunakan minyaknya sendiri untuk keperluan domestik.