Harga minyak mentah berada dalam dagangan bercampur-campur Isnin semalam, selepas pasaran dipenuhi kegiatan mengambil untung belian. Pada masa yang sama, laporan institut kajian industri minyak dan gas, Baker Hughes yang menunjukkan tambahan pelantar minyak dan spekulasi kegagalan rundingan OPEC kini mula memberati harga.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Mei membuka dengan ‘gap-up’, kemudian memacu naik lebih $1.35 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $41.77, sebelum menutup sekitar paras $41.56 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent berada dalam dagangan bercampur-campur, turun naik dari paras terendah harian sekitar $40.48 sebelum menutup sekitar paras $41.54 setong.
[adrotate group=”6″]
Di pasaran minyak global, pakar industri termasuk Bank Pusat Russia berpendapat bahawa harga minyak masa kini sebagai tidak berdaya saing. Bulan lepas Arab Saudi, Qatar, Venezuela dan Russia bertemu untuk membincangkan kemungkinan menghadkan pengeluaran bagi menstabilkan harga minyak. April depan negara pengeluar OPEC dan bukan OPEC akan bertemu di Doha, Qatar bagi membincangkan had pengeluaran dengan lebih lanjut.
Ramai penganalisis berpendapat kejayaan rundingan ini akan bergantung kepada Iran, yang kini telah mengatakan ketidaksediaannya untuk menghadkan pengeluaran. Banyak negara pengeluar juga memberikan syarat akan turut menghadkan pengeluaran, sekiranya Iran turut serta. Atas dasar ini, spekulasi menular bahawa rundingan OPEC itu akan gagal.