Harga minyak melonjak semula Selasa semalam, dalam reaksi kepada laporan inventori minyak komersil di hab penghantaran Cushing, Oklahoma, Amerika Syarikat berkurang sebanyak 979 ribu tong dalam seminggu yang berakhir pada 20 Mei lalu. Walau bagaimanapun pertambahan permintaan untuk Dollar dengan jangkaan kenaikan kadar Feds pada Jun depan, mengekang kenaikan harga ke paras yang lebih tinggi. Kenaikan nilai Dollar menyebabkan komoditi utama yang disebut harga dalam Dollar, menjadi lebih mahal untuk pemegang matawang lain.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Julai yang susut ke paras terendah harian sekitar $47.63, memacu naik semula lebih $1.25 setong untuk menutup sekitar paras $49.05 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Julai yang susut ke paras terendah harian sekitar $47.80 setong, memacu naik semula lebih $1.40 setong untuk menutup sekitar paras $49.05 setong. Crude dan Brent menutup pada paras yang sama semalam, sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Memandang ke hadapan, semua mata dalam pasaran kekal pada mesyuarat OPEC pada 2 Jun di Vienna, dengan pasaran yang tidak menjangka sebarang pelan pembekuan pengeluaran yang selaras. Pasaran niaga hadapan minyak mentah berundur apabila pegawai minyak Iran berkata bahawa Iran tidak akan menyertai pembekuan yang dicadangkan oleh pengeluar terbesar minyak mentah, sehingga eksportnya pulih ke tahap yang dilihat sebelum sekatan ekonomi dikenakan ke atas Tehran, sebagai tindak balas kepada program senjata nuklearnya.
Rokneddin Javadi, Pengarah Urusan National Iranian Oil Co., berkata bahawa eksport Iran tidak akan melepasi 2.2 juta tong sehari sehingga pertengahan musim panas depan. Menurut laporan Agensi Tenaga Antarabangsa, eksport Iran melonjak sebanyak lebih 40% untuk mencapai 2 juta tong sehari pada bulan April lepas.