Harga minyak mentah yang membuka dengan ‘gap-down’ Isnin semalam, terus berada dalam dagangan bercampur-campur untuk hari ketiga, dengan harga penutup harian yang semakin rendah; setelah mogok tiga hari pekerja minyak Kuwait berakhir minggu lepas. Mogok yang menuntut pembatalan pemotongan gaji dan manfaat pekerjaan penjawat awam sektor minyak dan gas Kuwait itu, dilancarkan sebaik sahaja rundingan OPEC gagal.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun turun naik dari paras terendah harian sekitar $42.83 setong ke setinggi $44.03, sebelum menutup sekitar paras $43.03 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Julai turun naik dari paras terendah harian sekitar $44.23 setong ke setinggi $45.47, sebelum menutup sekitar paras $44.65 setong.
“Saya rasa (telah ada) pengambilan keuntungan selepas kenaikan yang kuat ke akhir minggu lalu,” kata Veranda Chauhan dari ‘EnergyAspects’ di Singapura. Data pasaran menunjukkan bahawa jumlah kedudukan terbuka pada kenaikan harga minyak telah meningkat ke paras terakhir yang dilihat pada bulan Jun 2015. Trader juga berkata minyak jatuh selepas Dollar meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama lain, ekoran jangkaan bahawa Jepun akan melanjutkan pelonggaran monetari yang lebih agresif melalui kadar negatif.
[adrotate group=”6″]
Menurut Reuters, kenaikan harga semasa adalah lebih daripada dua pertiga sejak paras terendah 2016 dicapai antara Januari dan Februari lalu. Trader berkata sentimen di seluruh kompleks komoditi telah kembali dengan lebih yakin, dengan dana pelaburan baru yang masuk ke dalam pasaran, mengangkat harga.
Faktor lain ialah pengeluar telah mengambil kesempatan daripada harga yang lebih tinggi dengan mengunci pengeluaran. “Kami menjangka pengeluar di Amerika Syarikat mengambil setiap peluang, untuk secara agresif melindungi pelaburan apabila harga minyak pulih untuk jangka masa yang singkat,” menurut bank pelaburan Perancis Natixis.