Harga minyak mentah terus memacu untuk hari ketiga, selepas pasaran dipenuhi spekulasi mengenai kemungkinan pemotongan pengeluaran dari negara-negara pengeluar, apabila Russia mengatakan kemungkinan bekerjasama dengan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengawal lebihan bekalan global. Menurut Russia lagi, Arab Saudi mencadangkan setiap negara pengeluar memotong pengeluaran sebanyak 5%.
Namun spekulasi tersebut tidak bertahan lama dan harga minyak susut semula, apabila Arab Saudi kemudiannya menafikan sebarang rundingan bersama Russia mahupun cadangan pemotongan bekalan sebanyak 5%. Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Mac naik lebih $3.05 setong, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $34.80 setong, sebelum susut semula untuk menutup sekitar paras $33.55 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran April naik lebih $3.30 setong, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $36.70 setong, sebelum susut semula untuk menutup sekitar paras $35.35 setong.
[adrotate group=”6″]
Timbalan Menteri Arab Saudi bagi hal ehwal syarikat di Kementerian Petroleum dan Sumber Mineral semalam berkata di Tokyo, bahawa OPEC menganggarkan lebihan bekalan global kira-kira 2 juta tong sehari. “Jadi, ia akan mengambil sedikit masa untuk pasaran mengimbangi semula,” kata Abed Al-Saadi. Beliau juga menambah bahawa, “kami merasakan pasaran akan mula seimbang pada 2016 dan permintaan untuk tenaga dalam semua bentuk, akan terus meningkat”.