Harga minyak terus merudum untuk hari kedua Selasa semalam, setelah kemungkinan rundingan sebenar untuk kuota pengeluaran yang lebih rendah, hanyalah igauan di luar realiti. Harga minyak mentah merosot sebanyak 7%, tertekan oleh data ekonomi yang lemah dari China, ramalan AS untuk cuaca yang sederhana dan keraguan yang semakin meningkat bahawa OPEC dan pengeluar bukan OPEC akan berunding mengurangkan lebihan bekalan global.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Mac, jatuh lebih $1.95 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $29.55 sebelum menutup sekitar paras $29.65 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran April, jatuh lebih $1.85 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $32.25 sebelum menutup sekitar paras $32.55 setong.
[adrotate group=”6″]
Laporan sektor pembuatan China yang menguncup pada bulan Januari, pada kadar terpantas sejak tahun 2012, menambah kepada kebimbangan tentang permintaan tenaga dari pengguna tenaga terbesar di dunia. Harga minyak mentah jatuh lagi kerana kebimbangan terhadap lebihan bekalan dan permintaan yang lebih lemah akan berterusan, manakala harapan untuk urusan memotong pengeluaran di antara Rusia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum mula pudar.
Harga merosot 6% sehari lebih awal, setelah data lemah dari China memburukkan lagi kebimbangan mengenai permintaan minyak mentah. Dalam pada itu, laporan pendapatan daripada syarikat minyak BP tidak membantu, selepas gergasi tenaga itu melaporkan kerugian tahunan paling teruk dalam masa 20 tahun. Pendapatan suku keempat 2015 dilaporkan menjunam 91% kerana penurunan mendadak harga minyak. Syarikat itu juga mengumumkan 3 ribu pemotongan pekerjaan di peringkat global pada akhir 2017.