Harga minyak mentah kembali pulih Khamis lalu, dalam dagangan terakhir 2015; setelah kebanyakan syarikat minyak dan gas antarabangsa diberitakan terpaksa meminjam dengan lebih besar untuk membayar pulangan dividen yang kehendaki oleh pelabur, disamping terpaksa memotong jumlah pelaburan baru dalam carigali dan teknologi penghasilan, lantaran kejatuhan harga minyak yang berterusan.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Februari melonjak lebih $1.55 untuk ke paras tertinggi harian sekitar $37.80 sebelum menutup sekitar paras $37.10 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi bulan penghantaran yang sama, melonjak sekitar $1.85 untuk ke paras tertinggi harian sekitar $37.95 sebelum menutup sekitar paras $37.60 setong. Pasaran ditutup awal menjelang cuti Tahun Baru 2016.
[adrotate group=”6″]
Bank Pelaburan Goldman Sachs, dalam satu laporan berkata bahawa harga akan jatuh serendah $20 setong untuk pasaran mengimbangi semula. Bank Pelaburan Amerika Morgan Stanley juga meramalkan peningkatan bekalan global dan kelembapan dalam permintaan, menyebut bahawa pengimbangan semula pada 2016 akan menyebabkan harga “terus mengalami kemunduran yang serius.” Pengeluaran minyak mentah global diberitakan telah melebihi permintaan, sebanyak 500 ribu hingga 2 juta tong sehari, sekaligus meletakkan tekanan ke atas harga.