Dollar CAD merudum untuk hari kedua Khamis semalam, lebih 290 pips untuk ke paras terendah harian sekitar C$1.4240 sebelum menutup sekitar paras C$1.4265; setelah harga minyak kembali pulih dan pasaran terus memberikan reaksi kepada keputusan Bank of Canada (BoC) untuk mengekalkan kadar. Sebelum daripada itu, pasaran menjangkakan BoC akan menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 0.25% bagi membantu memulihkan aktiviti ekonomi Kanada yang semakin suram, terkesan dari harga minyak yang terus merudum.
Di pasaran Amerika Syarikat, Jabatan Tenaga Kerja melaporkan semalam bahawa bilangan individu yang memfailkan untuk bantuan awal pengangguran dalam minggu berakhir 15 Januari, telah meningkat sebanyak 10 ribu pemohon, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 293 ribu tuntutan. Angka itu jelas lebih tinggi daripada minggu sebelumnya sebanyak 283 ribu tuntutan. Laporan tersebut nyata meleset dari jangkaan pasaran yang mengharapkan kejatuhan kepada 278 ribu tuntutan. Di samping itu, Federal Reserve Bank of Philadelphia berkata indeks pembuatan meningkat kepada -3.5 mata pada bulan ini dari bacaan -5.9 mata pada Disember, yang nyata lebih baik dari jangkaan -5.8 mata.
[adrotate group=”6″]
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan jualan rumah bulan Disember yang dijangka meningkat dari 4.76 juta unit kepada 5.21 unit, manakala Kanada pula bakal melaporkan data inflasi dan jualan runcit. Inflasi teras Kanada dijangka stabil pada 0.3% di bawah sifar walaupun inflasi keseluruhan dijangka bertambah buruk, jatuh dari 0.1% dibawah sifar kepada 0.4% dibawah sifar. Jualan runcit pula dijangka bertambah baik, naik dari 0.1% kepada 0.3%.