Dollar CAD berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, dari paras tertinggi harian sekitar C$1.4170 ke serendah C$1.4050 sebelum menutup sekitar paras C$1.4110; setelah pasaran dipenuhi oleh aktiviti pengambilan untung menjelang laporan NFP Amerika Syarikat malam ini. Pada masa yang sama, kedua-dua laporan tuntutan bantuan pengangguran AS dan Ivey PMI Kanada yang meleset dari jangkaan, menyebabkan pasaran kehilangan arah, walaupun sentimen masih memihak kepada Dollar AS.
Dollar AS kehilangan momentum selepas Jabatan Buruh AS melaporkan bilangan pemohon bantuan pengangguran berakhir pada 1 Januari lepas, adalah pada 277 ribu berbanding jangkaan pasaran sebanyak 275 ribu pemohon. Walau bagaimanapun, angka tersebut masih lebih baik dari sebelumnya, iaitu sebanyak 287 ribu pemohon. Dalam pada itu, pasaran terus berhati-hati selepas Bank Rakyat China menetapkan kadar tukaran Yuan untuk dagangan luar pesisir lebih rendah daripada hari Rabu. Penurunan nilai Yuan tersebut telah menyebabkan jualan besar-besaran di pasaran kewangan global.
[adrotate group=”6″]
Hari ini AS bakal melaporkan data NFP yang dijangka menurun daripada 211 ribu kepada 203 ribu pekerja dan kadar pengangguran yang dijangka kekal pada 5% pada bulan Disember lepas. Pada masa yang sama, Kanada bakal melaporkan angka pekerjaaan yang dijangka bertambah baik, dengan pertambahan 10,400 pekerja berbanding 35,700 orang yang hilang pekerjaan sebelum ini; dan kadar pengangguran yang dijangka stabil pada 7.1%.