Dollar Yen susut lebih 80 pips Selasa semalam, untuk ke paras terendah harian sekitar ¥110.50 sebelum menutup sekitar paras ¥110.70; setelah pasaran diberitakan tentang ketegangan yang berlaku antara wakil AS dan Jepun dalam mesyuarat G7 baru-baru ini tentang campur tangan Jepun dalam pasaran matawang.
Menurut sumber, perbezaan pendapat yang ketara berlaku antara AS, yang memberi amaran agar Jepun tidak menggunakan kenaikan nilai Yen pada awal tahun ini untuk campur tangan dan melemahkan Yen, dan Jepun yang tegas mengatakan bahawa kenaikan lebih 9% sejak awal Januari adalah terlalu banyak dan tanpa sebab ekonomi yang kukuh, sekaligus mewajarkan campur tangan.
Perdana Menteri Shinzo Abe, dengan program pemulihan ekonomi digelar “Abenomics” yang berusia tiga tahun, kini tergantung dan menjadi pemimpin yang paling tertekan pada mesyuarat itu, yang diadakan di Shima, Jepun. PM Shinzo Abe bercadang untuk menunda kenaikan cukai penggunaan Jepun sebanyak dua dan setengah tahun sehingga Oktober 2019, dengan satu set keputusan yang akan diumumkan seawal hari ini.
Suatu kumpulan pegawai kerajaan Jepun yang melawat kediaman Perdana Menteri pada hari Isnin lalu, keluar dengan mesej yang sama: “Saya merasakan bahawa Perdana Menteri Abe sangat berazam untuk menangguhkannya,” menurut Natsuo Yamaguchi, ketua Parti Komeito yang menjadi rakan-rakan gabungan Mr. Abe.