Dollar Yen terus memacu naik lebih 150 pips Isnin semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar ¥108.60 sebelum menutup sekitar paras ¥108.30; setelah pasaran memberikan reaksi kepada laporan minit mesyuarat Bank of Japan dan komen daripada Gabenor BoJ Haruhiko Kuroda semalam. Sebelum daripada ini, keputusan BoJ untuk mengekalkan kadar telah mendorong pasaran untuk terus menyokong Yen.
Yen kembali melemah selepas Bank of Japan mengatakan bahawa ia bersedia untuk mengambil sebarang tindakan yang wajar untuk mengekang kenaikan nilai Yen dan menjana semula ekonomi yang semakin perlahan. Komen tersebut menyebabkan spekulasi berlegar dalam pasaran bahawa BoJ akan campur tangan dalam masa terdekat, sekaligus menjatuhkan nilai Yen.
Pengurus dana dan matawang kini berdepan dengan risiko ketinggalan sekiranya sentimen berubah arah. Indeks Dollar telah meningkat lebih 5% pada minggu lepas, selepas spekulasi kenaikan kadar AS pada Jun ini kembali memasuki pasaran; terkesan dari komen beberapa Presiden Feds cawangan yang mengatakan kenaikan kadar pada Jun adalah wajar, sekiranya data ekonomi terus menunjukkan pemulihan ekonomi yang stabil.
Dalam laporan CFTC yang terbaru, spekulator menambah kontrak jualan Dollar berbanding lapan matawang utama lain, dalam jumlah yang terbanyak sejak April 2014. Pengurus Dana Goldman Sachs, selepas mengurangkan kontrak jualan Euro dan Yen, kini menjual matawang Asia seperti Won Korea Selatan, Dollar Taiwan, dan Ringgit Malaysia; setelah ekonomi China di laporkan semakin perlahan.