Dollar Yen melonjak lebih 90 pips Selasa semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar ¥110.12 sebelum menutup sekitar paras ¥109.98; setelah pasaran kembali memberikan reaksi kepada sentime kenaikan kadar AS. Dalam pada itu, menurut Bloomberg ‘Feds Funds futures’ menunjukkan buat kali pertama sejak Mac, peluang yang lebih baik untuk Bank Pusat AS menaikkan kadar pada mesyuarat FOMC Julai ini.
Di pasaran Jepun, eksport jatuh untuk bulan yang ketujuh berturut-turut pada bulan April lalu, setelah nilai Yen mengukuh, sekaligus menekankan cabaran yang semakin meningkat kepada usaha Perdana Menteri Shinzo Abe untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi. Penghantaran luar negara menurun 10.1% daripada setahun yang lalu, menurut Kementerian Kewangan Jepun.
Mesyuarat ketua-ketua kewangan dari negara maju G7 pada hujung minggu lalu di sebuah resort air panas Sendai, Jepun telah ditandai oleh beberapa percanggahan paling ketara antara Amerika Syarikat dan Jepun dalam dasar-dasar kadar pertukaran matawang; ditengah-tengah sentimen kenaikan kadar AS seawal bulan Jun depan. Spekulasi yang memacu kenaikan Dollar itu mengingatkan pasaran pada awal Januari lalu, apabila pasaran ekuiti global menjunam dan menghapuskan lebih AS$7 trilion nilai pasaran berikutan kenaikan kadar Disember oleh Feds.
Walau bagaimanapun, tidak seperti ketika itu, minyak dan Yuan China menunjukkan tanda-tanda kestabilan dan James Gorman, Ketua Pegawai Eksekutif Morgan Stanley, berkata, beliau menjangka pasaran kewangan akan pulih dan kembali kepada “persekitaran yang lebih normal.” Toshihiko Matsuno, ketua strategi di SMBC Friends Securities Co., Tokyo pula berpendapat, “jika AS menaikkan kos pinjaman, kita mungkin dapat melihat beberapa langkah mengelakkan risiko seperti kita lihat pada Disember lalu. Pasaran kini berhati-hati dengan kemungkinan ini.”