Dollar Yen merudum lebih 390 pips Khamis semalam, untuk ke paras terendah harian sekitar ¥107.85 sebelum menutup sekitar paras ¥108.08; setelah Bank of Japan mengekalkan kadar dan tidak menambah sebarang ransangan dalam mesyuarat semalam. Pada masa yang sama, pengeluaran perindustrian dan jualan runcit dilaporkan mengatasi jangkaan.
Langkah BoJ itu datang sebagai satu kejutan kepada kebanyakan ahli ekonomi yang dibanci oleh Bloomberg, yang telah mengunjurkan beberapa tindakan daripada Bank Pusat Jepun sebagai tindak balas kepada pengukuhan nilai Yen yang membayangi prospek gaji dan pelaburan yang lebih tinggi. Pembuat dasar BoJ percaya kejayaan mereka dalam menurunkan kos pinjaman sejak melancarkan strategi kadar negatif pada bulan Januari akan menjana lebih banyak pinjaman.
[adrotate group=”6″]
Ahli Lembaga Pengarah BoJ semalam, tidak mengubah tiga alat pelonggaran utama – sasaran ¥80 trilion untuk memperluaskan asas kewangan, kebanyakannya melalui pembelian bon, 0.1% kadar negatif ke atas sebahagian daripada simpanan tunai bank di BoJ, dan program untuk membeli aset yang lebih berisiko termasuk saham. Secara berasingan, mereka menangguhkan tempoh masa mereka untuk mencapai inflasi sasaran 2%, kelewatan keempat dalam kira-kira setahun.
Angka-angka inflasi terkini, yang dikeluarkan semalam menunjukkan harga pengguna, termasuk harga tenaga, jatuh 0.3% pada bulan Mac. Jangkaan inflasi di kalangan isi rumah juga berada di peringkat paling lemah dalam tempoh tiga tahun, manakala pertumbuhan gaji telah menjadi perlahan ekoran kelembapan global membuatkan perniagaan lebih berhati-hati.