Dollar Yen berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, naik turun dari paras terendah harian sekitar ¥118.40 ke setinggi ¥119.00, sebelum menutup sekitar paras ¥118.80; selepas Federal Reserve menyatakan bahawa kegawatan dalam pasaran kewangan boleh menimbulkan risiko kepada ekonomi AS dan data menunjukkan penurunan yang tidak dijangka dalam jualan runcit Jepun.
Di pasaran Jepun, Indeks Nikkei 225 susut 0.8% kepada 17,032 dan pasaran ekuiti AS jatuh lebih 1% semalam, dengan Feds yang memantau perkembangan dari China ke Eropah serta harga minyak, untuk mengesan sebarang kesan buruk kepada ekonomi Amerika. “Feds menurunkan semula unjuran ekonomi mereka, dan berkata mereka sedang mengawasi pasaran kewangan. Dengan sentimen pelabur yang lemah, besar kemungkinan mereka percaya ianya adalah risiko global,” menurut penganalisis di Ichiyoshi Asset Management, Jepun.
[adrotate group=”6″]
Laporan dari Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun semalam menunjukkan jualan runcit jatuh 1.1% bulan lepas berbanding tahun sebelumnya. Pakar ekonomi yang dikaji oleh Bloomberg News telah mengunjurkan kenaikan sebanyak 0.2%. Kelemahan dalam perbelanjaan pengguna datang sehari sebelum Bank Pusat Jepun membuat keputusan sama ada untuk meningkatkan rangsangan monetari.
Kegawatan dalam pasaran kewangan global baru-baru ini, dan kekuatan Yen memberikan tekanan kepada Bank of Japan untuk mempertimbangkan pelarasan dasar bagi harga bahan api dan pertumbuhan ekonomi Jepun. Hari ini BoJ bakal bermesyuarat untuk menentukan dasar monetari dan Amerika Syarikat pula bakal melaporkan GDP yang dijangka susut dari 2% kepada 0.8%.